Guru Permulaan (novice)
Setelah berpenat lelah mengikuti kursus perguruan di institut perguruan selama hampir 5 hingga 6 tahun,akhirnya pasti anda akan merasai kepuasannya kerana akan ditempatkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Perasaan seperti berasa tidak sabar-sabar untuk bergelar guru dan menerima ucapan “Selamat pagi,Cikgu”. Detik bersejarah itu merupakan pengalaman pertama bagi anda setelah tamatnya status guru pelatih atau murid di IPG. Pada ketika itu anda bukan lagi guru pelatih, sebaliknya telah bergelar sebagai guru seperti mana rakan-rakan guru yang lain. Pada peringkat awal penempatan ini anda akan dikategorikan sebagai guru permulaan. Jika sebelum ini anda dipanggil murid, maka tugas kini sudah berubah, anda perlu pula mengajardan menjadi pengajar.
Kita sering mendengar teguran dan pandangan mengenai kualiti guru yang dihasilkan oleh institut perguruan. Kebanyakan dari pandangan dan teguran itu adalah mengenai kualiti guru yang tidak mencapai tahap yang diharapkan. Rasa tidak puas hati telah didedahkan melalui media massa. Guru sibuk mengajar tetapi pembelajaran tidak berlaku. Pencapaian pelajar dalam peperiksaan tidak memuaskan di samping gejala sosial remaja yang berleluasa semuanya diletakkan pada pihak guru. Guru dikatakan tidak cekap. Ini memberi imej yang kurang baik kepada institut perguruan sebagai institusi yang ditugaskan melatih guru. Pelatih yang cemerlang di institut perguruan tidak pula cemerlang di sekolah.
Kebanyakan guru permulaan dikatakan pasif, tidak kreatif, membosankan, tidak inovatif, tidak imaginatif dan tidak dapat merangsang pembelajaran murid. Mereka dikatakan tidak dapat menggunakan ilmu dan idea yang dipelajari di institut perguruan di dalam situasi bilik darjah yang sebenarnya. Mereka juga tidak boleh menyesuaikan ilmu dan kemahiran yang didapati sertan menggunakannya di dalam pengurusan bilik darjah secara berkesan. Guru permulaan ini boleh dikatakan hilang punca terutamanya di tahun pertama mula mengajar.
Dalam hal ini, pihak sekolah sudah tentu beranggapan bahawa institut perguruan kurang berkesan dalam melahirkan guru permulaan yang lengkap. Sebenarnya memang diakui bahawa kualiti guru lepasan institut perguruan belum mencapai tahap sebagaimana yang diharapkan oleh pihak sekolah. Persoalannya, selepas menamatkan latihan di institut perguruan dengan mengikuti jadual yang padat bagi mata pelajaran teras, elektif, kokurikulum dan penyuburan diri, bolehkah mereka menggunakan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh itu dengan berkesan di sekolah? Mereka memang telah dilatih dengan sempurna, tetapi kebolehan mereka untuk mengaplikasikan dalam konteks sebenar menjadi isu yang diperkatakan sekarang.
Perubahan peranan daripada seorang guru pelatih kepada guru permulaan merupakan satu pengalaman yang penuh dengan cabaran. Ini kerana guru permulaan menghadapi suasana yang berbeza daripada suasana semasa latihan. Seringkali guru permulaan terpaksa bergelut dengan pelbagai masalah seperti kejutan realiti, penyusuaian diri kepada persekitaran sekolah dan masalah berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru anda harus pandai memainkan peranan sebagai guru permulaan dalam usaha untuk membentuk sikap dan amalan ke arah perkembangan yang positif demi program latihan dalam perkhidmatan. Pihak sekolah pula harus memainkan peranan untuk menbantu guru permulaan memperlengkapkan kemahiran profesional guru permulaan yang telah diberikan oleh institut perguruan. Ini kerana ada aspek tertentu yang tidak dapat disampaikan melalui kurikulum perguruan di institut perguruan tetapi lebih sesuai disampaikan di peringkat sekolah.
Pada peringkat awal penempatan, mungkin anda akan mendengar pelbagai taklimat demi taklimat yang akan diberikan oleh pihak institusi masing-masing termasuk pihak pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta pihak pentadbiran sekolah kepada guru-guru permulaan ini tentang tugas, tanggungjawab serta tindakan masing-masing sebagai warga pendidik ke arah mencapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai guru permulaan serta guru baharu di sekolah yang ditempatkan, seharusnya banyak lagi perkara yang perlu dipelajari sama ada dari aspek pengurusan mahu pun aspek pengajaran. Walau bagaimanapun kejayaan kedua-dua aspek ini banyak bergantung kepada keperibadian anda.
Kejayaan anda sebagai guru permulaan banyak ditentukan oleh tindakan anda ke arah membentuk sikap diri sebagai seorang guru, khususnya seperti yang telah didedahkan kepada anda semasa mengikuti program Bina Insan Guru (BIG) oleh institut masing-masing. Anda sepatutnya menyedari dan mengetahui bahawa semasa mengikuti BIG, anda sebenarnya sedang mengikuti satu program yang bertujuan untuk menyediakan anda sebagai bakal guru yang akhirnya ke arah melahirkan anda sebagai guru yang profesional . Perubahan sikap yang dinyatakan semasa anda mengikuti BIG haruslah diterjemahkan dalam konteks sebenar, bukan retorik semata-mata semasa mengikuti program berkenaan.
Sebagai guru permulaan anda perlu menyedari bahawa kerjaya keguruan satu bidang profesion yang istimewa dan unik kerana proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya berlaku di bilik darjah malah ia menjangkau masa, tempat dan bidang tugas. Pengurusan jadual waktu, pengurusan bilik darjah, pengurusan pendaftaran, pengurusan peperiksaan, pengurusan kokurikulum dan sebagainya yang berkaitan dengan bilik darjah, murid dan sekolah merupakan ruang lingkup tugas guru yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Oleh itu sebagai guru permulaan, anda seharusnya sedar akan tanggungjawab ini tanpa banyak persoalan serta bertindak secara proaktif berlandaskan peraturan yang sedia ada.
Kerjaya guru sebagai pembina modal insan cemerlang, berakhlak mulia dan berdaya kreatif memang dicari-cari ibu bapa,murid dan masyarakat. Sebagai guru permulaan, sudah pasti masyarakat menjangkakan bahawa anda sebagai orang baharu dalam bidang keguruan ini mempunyai pelbagai idea dan daya kreatif yang tinggi kerana baharu sahaja didedahkan dengan pelbagai inovasi dari pihak pensyarah. Kalu dilihat pula perkataan ‘guru’ ia tidaklah begitu ‘glamour’ jika dibandingkan dengan pekerjaan lain, contohnya peguam, pengurus, doktor dan seumpamanya. Manakala pengamatan atau persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan pula turut membayangkan tentang ruang cuti,masa kerja yang terhad dan bidang tugas yang mudah serta terjamin. Persepsi yang sering didengar seperti ‘Guru ibarat lilin’ membakar diri untuk menerangkan (mencahayakan) orang lain. Memang begitulah nasib seorang guru. Betullah dalam sebahagian kata-kata puitis nukilan penyair terkenal lagi tersohor, Usman Awang memberi pengertian dan persepsi terhadap seorang guru:
Biarlah apa saja pandangan dan persepsi orang terhadap profesion dan kerjaya guru tetapi sebagai seorang hamba Allah atau insan, seorang guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebenar-benarnya terletak kepada kemahiran mendidik anak-anak walau setinggi mana ijazah-ijazah, diploma yang dimiliki, tetapi jika seorang guru atau pendidik tidak memiliki pengalaman dan kemahiran serta berakhlak mulia, maka perkataan seperti “pengajaran guru itu ‘boring’ (membosankan) atau cikgu ajar tadi tak seronok” akan keluar dari murid atau penuntut-penuntut yang mungkin memberi gambaran bahawa pengajaran guru tersebut tidak berkualiti atau tidak ada ‘standard’.
Status guru permulaan tidak seharusnya dilabelkan sebagai guru kosong dan tiada sebarang pengetahuan berkaitan dengan tugas yang diberi. Anda perlu menerima dan menghayati setiap tugas yang diserahkan kepada anda. Perkara pertama yang harus dilakukan ialah menerima dan menghayati tugas yang diberikan dan seterusnya berusaha ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan. Penghayatan perlu dibuat pada prosedur serta tata cara pengendalian atau pelaksanaan sesuatu tugasan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di samping itu, guru permulaan harus juga menawarkan diri membantu tugas-tugas lain terutamanya dalam bidang kokurikulum yang diceburi ketika berada di institusi pendidikan. Personaliti dan kebolehan anda sebagai guru permulaan akan dilihat dari pelbagai sudut oleh pihak pengurusan sekolah dan guru-guru senior yang berpengalaman. Oleh yang demikian, anda haruslah menunjukkan kebolehan dan keterampilan dari segenap sudut, khususnya dalam aspek yang berikut;
i. Kualiti diri dan kebolehan anda menyesuaikan diri
ii. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
iii. Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah
iv. Pengurusan kerja di mana anda ditempatkan
Guru permulaan juga perlu menyesuai diri dengan budaya sekolah. Budaya di IPG tidak sama dengan budaya di sekolah. Lain padang lain belalang, begitulah perumpamaan yang membawa maksud setiap tempat itu mempunyai budaya kerja masing-masing. Sebagai guru permulaan, anda harus menyesuaikan diri dengan budaya sekolah termasuk keadaan, tempat, cara berinteraksi dengan guru-guru lama serta keseluruhan warga pendidik di sekolah tersebut. Cuba wujudkan budaya yang mesra supaya kehadiran anda disenangi oleh semua pihak,khususnya pihak pengurusan sekolah. Elakkan daripada wujudnya suasana tegang akibat sikap anda yang tidak profesional dan masih terbawa-bawa perwatakan sebagai pelajar ketika anda berada di IPG.
Sebagai guru permulaan anda harus juga peka dan sentiasa mendapat maklumat tentang pelbagai aspek. Bermula daripada maklumat murid, maklumat yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pusat sumber hinggalah maklumat berkaitan pegurusan pentadbiran seperti takwim sekolah dan sebagainya. Maklumat ini akan dapat membantu anda dalam proses perancangan pengajaran serta proses peningkatan profesionalisme. Anda juga adalah diingatkan bahawa sebagai guru permulaan anda akan sentiasa di bawah pengwasan dan pemantauan pihak sekolah, PPD serta JPN. Oleh itu anda seharusnya menunjukkan prestasi yang baik, sentiasa bersikap positif tanpa banyak membuat rungutan serta bersedia membuat transformasi diri ke arah mewujudkan sistem penddikan yang mantap, berkualiti serta bertaraf dunia.
Sebagai guru permulaan, anda harus mempunyai kepelbagaian idea yang bukan sahaja dilihat dari aspek isi pengajaran atau perancangan, bahkan juga dari aspek pedagogi dan sistem penyampaian. Seorang guru terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan bidang perguruan harus mempunyai beberapa kemahiran sebagai nilai tambah dalam proses menghasilkan pengajaran yang berkesan. Guru permulaan juga harus mewujudkan keseronokan dan keceriaan belajar dalan kalangan murid. Antara langkah yang mampu menbantu kemahiran sistem penyampaian dalam menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menceriakan lagi menyeronokkan adalah seperti berikut;
i.Mengenali dan memahami ciri murid
Sebagai ibu atau bapa kepada murid, seorang guru bukan sekadar mengenali nama sahaja akan tetapi harus memahami sedalam-dalamnya atau menjiwai mereka. Dalam hal ini, ia bermaksud anda sepatutnya memahami kehendak (needs), sikap, perangai atau tingkahlaku yang merangkumi aspek kekuatan (strength) dan kelemahan (weakness) murid mengikut tahap umur masing-masing.
ii.Kreatif dan inovatif
Sebelum ini mungkin anda menganggap bahawa tugas guru untuk mengajar itu mudah. Sebagai seseorang guru permulaan, anda memerlukan sukatan pelajaran, rancangan pelajaran serta bahan pengajaran yang disesuaikan dengan murid anda. Walaubagaimanapun, adalah sukar untuk menyampaikan pengajaran agar ia dapat difahami dan tidak membosankan. Oleh yang demikian, seseorang guru itu harus kreatif dan inovatif dalam penyampaiannya.
Guru harus bijak memainkan peranannya dalam pelbagai keadaan untuk membolehkan murid menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Pendidik yang berdaya kreatif dapat mengintegrasikan atau menggabungjalinkan pelbagai bahan, kaedah dan teknik dalam penyampaian. Penciptaan, pengubahsuaian dan penghasilan bahan serta corak pembelajaran menjadikan ia lebih inovatif serta mampu melibatkan murid dalam setiap aktiviti yang diadakan. Teori yang anda peroleh semasa mengikuti kuliah di IPG perlulah disesuaikan dengan kesediaan murid anda untuk menerima kehadiran anda dalam pembelajaran mereka.
iii.Personaliti guru
Seseorang guru tidak semestinya garang dan tidak pula terlalu lembut dengan para murudnya. Anda harus mengetahui bahawa setiap murid akan suka kepada guru yang mempunyai unsur kecindan dalam penyampaian. Elemen kecindan ini ialah kata-kata atau pelakuan yang berunsur jenaka yang tidak keterlaluan semata-mata bertujuan untuk menimbulkan rasa ceria dan seronok serta menghilangkan tekanan sewaktu berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Proses ini seharusnya berlaku apabila seseorang guru baharu itu mula melangkah ke bilik darjah pada hari pertama dan dilakukan secara santai melalui proses komunikasi dan interaksi dua hala. Namun anda tidak seharusnya lebih kepada melawak kosong semata-mata dengan tujuan untuk menarik perhatian murid, sedangkan pengajaran yang sepatutnya terabai begitu sahaja.
Mulai sekarang anda perlu menyedari bahawa anda semua akan berhadapan dengan situasi yang dibincangkan tadi. Oleh itu, tempoh perubahan peranan dari guru pelatih kepada guru permulaan adalah merupakan satu tempoh yang amat penting yang perlu diberi perhatian oleh anda kini. Anda harus mula mengatur strategi untuk menjadi guru permulaan yang berkesan supaya tidak merugikan semua pihak terutamanya sekali pihak sekolah dan khususnya para murid. Memang diakui bahawa sebenarnya kurikulum penddikan guru tidaklah mungkin dapat menyediakan segala-galanya sehingga guru yang keluar dari institut perguruan menjadi produk yang lengkap.
Anda sebagai seorang manusia yang kreatif, inovatif dan mempunyai daya keintelektualan yang tinggi harus memikul akauntabiliti untuk memperlengkapkan kemahiran profesional guru supaya anda tidak dilabelkan sebagai guru permulaan yang bermasalah dan tidak boleh diterima sekolah. Sebagai seseorang guru yang profesional, anda harus berusaha untuk menjadi guru yang berkesan, disegani dan dihormati oleh para murid, ibu bapa dan rakan sejawat. Prestasi guru yang cemerlang pula bukan hanya terletak pada nama, pangkat atau gelaran jawatan tetapi mereka yang mampu membuat penyampaian dengan amat menarik, kreatif serta berkebolehan memberi pemahaman sepenuhnya kepada murid dengan penuh prihatin,berakauntabiliti dan ambil peduli terhadap perkembangan murid sepenuhnya.
Guru Cekap (competent)
Dunia sekarang yang semakin berkembang dan maju telah membawa banyak perubahan dalam pelbagai bidang. Sebagai guru yang berkecimpung dalam bidang pendidikan, anda juga tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan dunia. Kemajuan yang dimaksudkan merangkumi semua bidang ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan, psikologikal dan kebudayaan. Bidang pendidikan turut mengalami arus revolusi perindustrian yang berasaskan sains, teknologi maklumat dan telekomunikasi bagi tujuan mencapai matlamat pendidikan bertaraf dunia.
Multimedia, ICT, Wawasan 2020 dan cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa sempadan yang mana segala aktiviti yang dijalankan adalah tidak terkongkong oleh sempadan geografi, bahasa, budaya dan ideologi politik sesebuah negara. Bagi menghadapi semua ini, anda perlulah menjadi seorang guru yang cekap, khususnya dalam mengaplikasikan teknologi maklumat dalam pengajaran.
Sistem pendidikan negara telah mengalami reformasi ekoran daripada Wawasan 2020 yang bermatlamat untuk menjadi negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri tanpa terikat dengan cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Pendidikan amatlah penting bagi merealisasikan impian semua rakyat dan negara dalam Wawasan 2020 kerana ia merupakan suatu proses yang membawa perubahan kepada individu mengikut norma dan nilai sesuatu masyarakat. Matlamat utama pendidikan adalah menyediakan seseorang individu memainkan peranan positif dan berkesan dalam masyarakat. Matlamat pendidikan ini tidak mungkin akan tercapai sekiranya anda tidak dapat menjalankan amanah tersebut dengan cekap dan berkesan.
Profesionalisme keguruan merujuk kepada sifat yang ada dalam diri seseorang guru untuk mencapai keberkesanan, produktiviti, akauntabiliti, kecekapan dan kemahiran untuk mengajar (Sufean, 1995). Jika seseorang guru itu mengamalkan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan tidak mementingkan diri atau suka memilih pekerjaan, maka guru berkenaan dianggap telah mengamalkan nilai murni dalam kehidupannya (Hedderdof, 1971). Sesuatu tugas yang dilaksanakan tidak bertujuan bagi mendapatkan pendapatan yang lumayan tetapi hendaklah seseorang itu mempunyai komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta bermatlamatkan sumbangan untuk masyarakat dan negara (Intan, 1995). Setiap penjawat awam harus melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan dengan cekap supaya produktiviti akan meningkat.
Menurut Johnson (1972), profesionalisme keguruan adalah kualiti pekerjaan atau sifat yang ada dalam kecekapan dan kemahiran untuk mengajar. Seorang guru yang cekap perlulah mempunyai komitmen terhadap pekerjaan atau sesebuah pertubuhan serta dedikasi dalam menyampaikan pengetahuan dan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran. Seseorang guru dikatakan profesional apabila beliau cekap menggunakan strategi dalam menguruskan pekerjaan dan pengajarannya. Pada pandangan kasar, profesion sebagai guru dianggap suatu kerja yang mudah dan remeh oleh masyarakat. Mereka tidak memahami kesukaran yang dihadapi oleh guru untuk membimbing anak bangsa supaya menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, anda perlu cekap menguruskan tanggungjawab dan murid supaya anda tidak terus dipandang sinis oleh masyarakat.
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan kualiti proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin dicapai jika individu, kumpulan, kelopok dan organisasi tidak cekap dan tidak berkesan. Oleh itu sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program pembangunan profesional, sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun pengalaman sebenar di tempat kerja sudah tentu membolehkan atau mengupayakan guru-guru bertindak atau berpelakuan dengan cekap untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.
Sebenarnya guru merupakan insan yang penting dalam pembentukan generasi akan datang. Ekoran daripada reformasi pendidikan, perananan guru masa kini bukan sahaja menyampaikan pengajaran tetapi juga sebagai fasilitator dan pemberi perangsang kepada murid. Guru perlu cekap mendidik dan membimbing umtuk mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya mereka menjadi seorang yang berpengetahuan luas dan berakhlak mulia.
Kecekapan seorang guru akan sentiasa diperhati dan dinilai oleh masyarakat dan organisasi. Menjadi guru yang cekap bukanlah beerti cekap dari segi fizikal dan tenaga sahaja tetapi yang lebih penting ialah kecekapan dari pelbagai aspek, antaranya adalah seperti berikut;
i. Kecekapan profesionalisme
ii. Kecekapan melaksanakan visi dan prinsip
iii. Keutuhan keperibadian
iv. Kecekapan menggunakan teknologi maklumat
v. Kecekapan dan kecerdasan mental dan keintelektualan
vi. Kestabilan emosi dan spiritual
vii. Kebijaksanaan dan kepimpinan
Eilane (2000) telah mengenal pasti beberapa ciri seseorang guru yang amat cekap dan dinyatakannya dengan mempunyai tiga ciri yang berikut iaitu;
i.Ciri peribadi
Seorang yang ‘bermatlamat’ (mission-driven) dan juga seorang yang ‘asyik’ dalam pekerjaannya. Kedua, ianya bersikap positif dan ‘real’ yakni yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima ‘kenyataan’ biar pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang ‘guru pemimpin’, disamping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak didik malah rakan sejawat dan sesiapa sahaja yang perlukan bimbingannya.
ii. Ciri mengajar
Seorang yang memiliku dan sentiasa menerapkan aspek ‘dengannya’ (“with-it-ness”) dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai gaya yang tersendiri, sesuai dengan semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang. Guru juga memiliki kepakaran motivasi serta kebekesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
iii.Ciri intelektual
Seorang yang suka ‘membaca buku’, dan mempunyai ‘mental life’ yang segar, berkembang dan mempunyai kesungguhan kendiri (self-actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat, menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.
Oleh itu menjadi seorang guru yang cekap amat dipengaruhi oleh tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya seperti teguh, tegas dan utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya luas, tinggi dan mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi kesedaran diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam kepimpinan. Seorang guru yang cekap juga akan berupaya untuk menjalankan segala tugasnya dengan berkesan dan seterusnya berupaya meningkatkan kualiti diri serta pendidikan negara.
Kualiti pendidikan bermula dengan kualiti guru. Peningkatan kualiti pendidikan guru merupakan satu usaha berterusan untuk melahirkan guru yang cekap, kreatif, berketerampilan dan berakhlak mulia. Kurikulum pendidikan guru adalah dinamik dan sentiasa diubah suai supaya guru dapat membentuk keterampilan diri, pengetahuan baharu dan sikap positif sejajar dengan pembentukan negara yang progresif. Perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan memerlukan guru membuat anjakan minda dan seterusnya meningkatkan kecekapan dalam penggunaan teknologi dan yakin menghadapi perubahan untuk menangani cabaran persekitaran sekolah. Untuk menjadi seorang guru yang cekap, terdapat beberapa prinsip yang boleh dipertimbangkan oleh anda dalam melaksanakan tugasan di sekolah kelak, antaranya adalah seperti berikut;
i. Do it Right First Time (DIRFT)
Pada peringkat ini setiap kerja yang anda lakukan mesti bebas daripada buat salah dan silap kerana salah dan silap ‘boleh dielak dan dicegah’. Ini bermaksud setiap kerja dan tugasan yang dilakukan mesti dilakukan dengan cekap dan mengurangkan kesilapan. Pada tahap yang lebih tinggi ertinya guru-guru mesti mengajar dengan cekap dan betul manakala para murid mesti belajar dengan betul dan sentiasa buat betul. Kesimpulannya semua guru dan murid mesti faham dan menjadikan prinsip ini sebagai prinsip uatama untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
ii. Guru mengajar Murid Belajar
Pada peringkat ini pula semua guru mesti faham bahawa tanggungjawab utama guru adalah untuk mengajar, bukan pergi ke sekolah sekadar untuk berbual kosong atau meluaskan rantaian MLM mereka. Untuk mendapatkan mutu pengajaran yang berkesan, setiap guru perlu membuat persediaan mengajar dari segi mental, fizikal dan spiritual, penuh semangat dan berwibawa. Prinsip paling utama ‘tidak ada kelas yang dibiarkan tanpa guru’. Kemudian murid pula perlulah belajar dengan betul, bersungguh-sungguh dan tidak main-main, tidak mengganggu rakan-rakan yang lain serta belajar dengan penuh keriangan dan kefahaman. Situasi yang dinyatakan itu tadi memerlukan anda menjadi seorang guru yang cekap dalam mengurus aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya para murid dapat belajar dalam suasana yang kondusif.
iii. Berkongsi Visi Yang Sama
Seterusnya pada peringkat ini semua guru mesti memahami dan menghayati hala tuju sekolah yakni hendak menjadikan sekolah suatu organisasi yang berkesan, sekolah berwatak dan boleh menjadi sekolah model. Prinsip utamanya semua murid adalah ‘normal’ dan berpotensi mencapai prestasi akademik yang cemerlang dan gemilang. Apa jua visi yang hendak direalisasikan bukan hak kepunyaan Guru Besar seorang tetapi menjadi hak kepunyaan semua guru dan berpegang teguh dengan kata-kata keramat Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh. Bagi mencapai matlamat berkenaan, semua guru di sesebuah sekolah haruslah menggembleng tenaga dengan berkongsi kecekapan mereka demi menjayakan visi sekolah.
iv. Bakti Disemai Bukti Dituai
Prinsip ini bermaksud bahawa apa jua yang guru ajar (dan buat) itulah yang akan menjadi hasilnya. Apatah lagi kalau guru-guru tidak mengajar dengan sepenuhnya. Oleh yang demikian setiap guru perlulah melaksanakan tugasnya dengan penuh kecekapan supaya hasilnya juga nanti akan memuaskan hati semua pihak. Prinsip utamanya apa jua yang guru buat (dan atau tidak buat) akan menentukan prestasi atau pencapaian murid seterusnya.
v. Penambahbaikan berterusan
Prinsip ini menunjukkan bahawa untuk mencapai kualiti tidak ada had dan sempadan. Guru mesti sentiasa melakukan Kaizen (Continuous Improvement) dalam semua aspek kerja terutamanya aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Prinsip utamanya mesti tidak mudah merasa berpuas hati dengan status kini tetapi sentiasa memikir dan mencari jalan bagi meningkatkan segala-galanya supaya hasil kerja kurikulum, kokurikulum, pengurusan data dan maklumat, kebajikan dan keselamatan serta keceriaan fizikal dan persekitaran sentiasa dipertingkatkan sepanjang masa. Sekiranya guru tidak melaksanakan tugas dengan cekap, mustahil penambahbaikan akan dapat dilakukan. Oleh yang demikian, kecekapan guru sangat diperlukan untuk membolehkan penambahbaikan secara berterusan akan terus berlaku.
vi. Mencegah Masalah Lebih Utama Daripada Menyelesai Masalah
Menerusi prinsip ini tidak cukup bagi seseorang guru jika sekadar boleh ‘menyelesaikan masalah’ sahaja lebih-lebih lagi sudah tahu perkara yang akan menjadi maslah. Jadi yang diutamakan ialah kebolehan ‘mencegah masalah’ suapaya tindakan awal yang ‘preventive’ bukan ‘remedial’ dapat dibuat dengan berkesan. Kesimpulannya semua guru mesti cekap bertindak serta ada sikap proaktif dan hasilnya semua orang tidak akan menghadapi masalah. Melalui cara ini sekolah yang kondusif untuk proses pembelajaran dan pengajraan yang berkesan akan dapat dibentuk.
vii. Guru Sebenar Guru
Ini memerlukan guru yang benar-benar cekap. Guru yang sebenar akan ke sekolah tidak jemu dan mengajar pula tidak lesu. Untuk menjadi guru yang sebenar, anda perlulah menjadi seorang guru yang cekap, dedikasi, komited dan bertanggungjawab serta tidak akan mengkhianati tugas dan muridnya. Prinsipnya ialah guru-guru mesti faham bahawa tugas ‘mengajar dan mendidik’ satu pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar (tanpa muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah.
Guru-guru yang cekap tidak akan cepat melatah atau menyalahkan keadaan dan tempat sebelum menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu di samping berusaha meningkatkan keterampilan dan kewibawaan diri. Guru sebenar guru tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan organisasi seperti selalu ponteng, bnyak beri alasan dan helah, sering mengelakkan diri daripada menerima tugas dan tanggungjawab, menganggap sekolah hanya tempat kerja ‘sementara’ atau beri alasan ‘tidak cukup masa’. Guru sebenar guru tidak akan menunjukkan ciri-ciri ‘orang malas’ ketika berada di dalam kelas tetapi sebaliknya mengajar dengan penuh ceria, cekap dan bersemangat.
Kejayaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dalam usaha membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia adalah satu tugas besar yang perlu dihayati dan mendapat sokongan serta kerjasama seluruh anggota pendidikan negara bagi membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi di samping melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Oleh itu sebagai bakal guru yang akan bertugas di sekolah nanti, anda perlu sedar bahawa anda mempunyai tugas yang besar dan mencabar bagi memperkasakan bukan sahaja sekolah tetapi yang lebih penting lagi dapat meningkatkan kecekapan diri sendiri menjadi guru yang sebenarnya guru.
Perkembangan profesionalisme keguruan harus menjadi prioriti dalam perancangan kerjaya setiap guru. Cabaran-cabran yang dihadapi guru masa kini dan masa depan semakin meningkat. Isu yang dihadapi bukan sahaja sekadar masalah murid dan peralatan, tetapi lebih jauh daripada itu termasuk cabaran terhadap kemampuan kecekapan guru menghadapi masyarakat berasaskan ilmu serta jati diri dalam mengharungi isu-isu nilai yang lebih global. Profesion keguruan sentiasa tercabar dengan pelbagai isu pendidikan. Guru masa kini tidak mungkin dapat bertahan dan mempertahankan kredibiliti mereka tanpa menunjukkan ciri-ciri kecekapan profesionalisme seperti profesion-profesion yang lain.
Guru Berkesan (effective)
Setiap individu yang memilih profesion keguruan ini sebagai kerjaya pilihan yang utama harus meningkatkan kualiti profesion keguruan ini di mata masyarakat. Mereka perlu bekerja keras bagi memastikan objektif stiap pengajaran yang dilakukan adalah untuk meningkatkan tahap pendidikan murid di bawah jagaannya dan sekaligus mendapat pengiktirafan masyarakat. Kerja keras dan semangat bekerja yang diberikan oleh golongan guru ini akan meningkatkan kualiti martabat keguruan ke tahap yang sepatutnya seiring matlamat yang telah ditetapkan oleh KPM.
Ramai orang inginkan kemajuan, peningkatan, kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya apa yang kita namakan sebagai kejayaan. Kejayaan pula berlaku dalam banyak bentuk sama ada kejayaan peribadi, kejayaan organisasi atau pun kejayaan kelompom dan komuniti. Kejayaan ini hanya boleh dicapai sekiranya setiap guru berupaya untuk menjadi guru yang berkesan. Philip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan. Tiga unsur ini berkait rapat anatara satu sama lain dan ianya digelar sebagai “Triangle of Success” (yang merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap). Berikut adalah huraian ringkas bagi setiap aspek yang berkenaan;
i.Ilmu Pengetahuan
Pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil, diploma dan ijazah yang akan dimiliki oleh seseorang. Ilmu pengetahuan bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam sesuatu pengajaran, kefahaman terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh murid daripada guru merupakan pengetahuan kerja yang praktikal. Pengetahuan ini akan menentukan keberkesanan pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru berkenaan.
ii.Kemahiran
Pengetahuan dan kemahiran sama-sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi menentukan keberkesanan pengajaran guru. Ringkasnya, kemahiran sama erti dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah ‘task’ merupakan satu kelebihan kepada guru yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme, ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar menjadi faktor penentu kepada keberkesanan pengajaran guru.
iii.Sikap
Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yang tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar dan hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan mneggerakkan tingkah-laku dan perbuatan, maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Situasi di sekolah menunjuukkan bahawa terdapat guru yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dapat mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya. Malah kadang-kadang guru yang sebegini akan lebih mudah berhadapan dengan sebarang masalah dan dapat menjalankan pengajaran dengan lebih berkesan.
Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan bahawa antara ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut;
i. Bersikap profesional
ii. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori
iii. Kaya ilmu
iv. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja
v. Bermoral teguh
vi. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran
vii. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa
viii.Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid
ix. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa
x. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa
xi. Mempastikan situasi ‘guru mengajar murid belajar’ wujud di dalam kelas
xii.Berupaya melahirkan ‘persekolahan berwatak’ suapaya murid mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
xiii. Berupaya membina minda murid yang cemerlang akademik
xiv. Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketerampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu)
xv. Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
xvi. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi
xvii. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah
Berdasarkan kepada ciri-ciri di atas, guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seorang guru itu untuk menjadi pendidik yang berkesan. Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi membolehkan mereka menjadi guru yang berkesan. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada seorang guru akan mewujudkan pengajaran yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada murid dan secara tidak langsung mempengaruhi murid untuk terus belajar.
Seorang guru yang berkesan haruslah mengutamakan tanggungjawabnya terhadap ilmu, kebajikan dan keselamatan muridnya (Mok Soon Sang, 2002). Kebiasaannya mereka yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru disebabkan faktor terpaksa tidak akan bertanggungjawab terhadap ilmu yang dimiliki, menjaga kebajikan dan gagal meyampaikan pengajaran dengan berkesan.
Keadaan ini akan menyebabkan kesan negatif yang akan dilihat oleh masyarakat sekeliling kepada bidang pekerjaan sebagai seorang guru (Prof. Dr. S. Nasution, 1995:61). Kesan negatif ini akan menimbulkan prasangka yang tidak baik oleh masyarakat terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Jika guru gagal menjadi guru yang berkesan, maka ini akan mendatangkan masalah kepada proses pembelajaran yang dijalankan di sekolah.
Selain itu untuk menjadi seorang guru yang berkesan, setiap guru harus mempunyai budi pekerti termasuk berkelakuan sopan semasa bergaul dengan rakan-rakan sejawat atau semasa menyertai aktiviti kemasyarakatan. Guru yang sentiasa memelihara kemuliaan profesion keguruan ini akan mudah diterima oleh murid dan akhirnya mereka akan menumpukan perhatian terhadap pengajaran yang dijalankan oleh guru. Tumpuan yang diberikan oleh murid akan membolehkan guru berkenaan menyampaikan pelajaran dengan berkesan. Guru pun bolehlah mengatur strategi yang sesuai kerana mudah untuk mendapatkan kerjasama daripada murid disebabkan murid berkenaan menyenangi sikap dan keterampilan yang ditonjolkan oleh guru berkenaan.
Guru merupakan individu yang memainkan peranan untuk memberi fokus kepada pemerolehan kemahiran dan ketermpilan di samping keperluan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid sekolah. Guru perlu bertanggungjawab untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan dalam kalangan murid sama ada dari aspek mental mahupun moral. Seorang guru yang berkesan akan mempunyai sifat merendah diri dan jujur dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Seorang guru yang berkesan juga harus pandai menyesuikan diri dan elakkan daripada tidak suka bergaul dengan rakan sejawat yang lain. Mereka berasa bangga dengan keupayaan yang ada pada diri sebagai seorang guru dan akan menjadi seorang guru yang sombong dan tidak suka bergaul antara satu sama lain. Mereka menganggap diri mereka lebih tinggi dari segi ilmu pengetahuan yang dimiliki jika dibandingkankan dengan guru-guru yang lain. Keadaan ini akan menimbulkan kerenggangan hubungan antara rakan sejawatan yang lain.
Setiap guru harus berusaha untuk melaksanakan pengajaran yang akan memberikan kesan maksimum kepada para murid. Seorang guru yang berkesn juga perlulah cekap menggunakan sumber maklumat yang ada bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Semua sumber maklumat berguna yang diperlukan untuk meningkatkan mutu pengajaran perlu digunakan sama ada yang diperoleh dalam pembacaan atau yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kebolehan seorang guru dalam mengolah segala sumber yang ada adalah faktor penting bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran yang dilakukan berjalan dengan berkesan dan tidak menimbulkan masalah semasa proses ini berlangsung.
Setiap guru perlu merancang pengajaran dengan teliti dan sentiasa membuat reflektif sebagai proses pengajaran suapaya boleh menjadikan proses pemgajaran adalah sesuatu yang bermakna dan memberi kesan kepada pembelajaran murid. Perkembangan murid juga dipengaruhi oleh tahap pendedahannya kepada sumber teknologi yang terdapat di alam kehidupannya (Mok Soon Sang, 2002).
Sumber teknologi ini merujuk kepada maklumat-maklumat yang diperoleh daripada bahan bacaan seperti surat khabar, majalah, iklan, filem, radio, televisyen dan komputer. Seorang guru yang berkesan seharusnya berupaya menggunakan setiap sumber dan mengaplikasikan segala maklumat yang diperoleh dari sumber-sumber tersebut untuk dijadikan bahan pembelajaran dan pengajaran kepada muridnya (Mok Soon Sang, 2002).
Selain itu juga seorang guru yang berkesan akan dapat menghasilkan prestasi kerja yang baik dan tidak akan melakukan tugasan yang diberikan secara sambil lewa sahaja (Drs. Syaiful Bahri Djamarah, 2000). Guru yang berkesan akan melibatkan diri secara menyeluruh terhadap perkembangan pembelajaran murid, sekolah dan masyarakat. Justeru itu, mereka akan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerjaya memandangkan sebahagian besar masa seorang guru dihabiskan untuk memikir, merancang dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas (Sufean Hussin, 1993).
Kejayaan, keberkesanan dan kecemerlangan sekolah terletak pada seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap murid, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri. Oleh yang demikian, sebagai seorang guru anda haruslah berupaya menjadi guru yang berkesan demi membantu mencapai matlamat pendidikan negara.
Untuk menjadi guru berkesan kita perlu berubah. Kita perlu membuat anjakan paradigma. Setiap guru perlu melakukan lonjakan quantum dengan merubah dan meruntuhkan tembok penghalang yang pertama dan utama iaitu Memolak Perubahan (Resist Change). Ken Blanchard, pengarang buku “The One Minute Manager” menyatakan bahawa kita lumrahnya begitu sukar menerima perubahan, Beliau menyatakan bahawa perubahan yang kita terima akan membolehkan kita mencapai kejayaan, Untuk mencipta kejayaan, kita perlu mengubah diri dan mengubah sikap. Plato berkata, “Kemenangan yang utama dan pertama ialah menakluki diri”. Garfield pula berkata, “Di dunia ini benda-benda tidak berubah, kecuali ada orang yang mengubahnya”.
Jelas sekali perubahan tidak terjadi tanpa penggeraknya atau pun penyebabnya, dan perubahan yang paling berat dan paling sukar ialah perubahan diri peribadi. Stephen Covey (1989) dalam bukunya “The Seven Habits of Highly Effective People” menyatakan ada dua tahap proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status ‘orang-orang yang paling berkesan’ iaitu tahap ‘kejayaan peribadi’ dan ‘kejayaan umum’. Tiga tabiat (habit) yang fundamental bagi seseorang yang ingin mencipta kejayaan peribadi adalah;
i. Jadilah proaktif (Be Proactive)
ii. Mulai dengan yang akhir di dalam minda (Begin with the End in Mind)
iii. Buat dahulu perkara pertama (Put First Thnings First)
Bagi mencipta kejayaan umum (dalam hubungan interpersonal) tabiat (habit) yang perlu diamalkan adalah;
i. Fikirkan menang/menang (Think Win/Win)
ii. Fahami dahulu, kemudian minta difahami (Seek first to understand and then to be understood)
iii. Sinergi (Synergize)
iv. Tahamilah mata gergaji (Sharpen the Saw)
Untuk mencapai kejayaan peribadi, kita perlulah berkebolehan menguruskan hubungan interpersonal. Ini bermaksud setiap guru perlu bijak berinteraksi dengan orang di dalam organisasi, sama ada rasmi atau tidak rasmi. Kemahiran hubungan interpersonal akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap perkembangan peribadi guru dan murid. Kemahiran ini juga akan memberikan kesan kepada keberkesanan guru dalam konteks yang lebih luas, sama ada untuk menguruskan bahan pengajaran mahupun meningkatkan imej kendiri guru.
Guru yang berkesan seterusnya akan membuat dahulu perkara pertama (Put First Thnings First) yang maksudnya kita mengamalkan ‘pengurusan masa’ yang kemas dan sistematik, mengutamakn prioriti tindakan serta tidak suka menangguh kerja. Pengurusan kerja yang efisien akan menjadikan seorang guru menguruskan tugasan harian dengan lebih berkesan dan segala tugas serta tanggungjawab dapat disempurnakan dengan cemerlang. Guru yang berkesan akan berupaya menjadi seorang guru yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yang boleh menjadi role model kepada orang-orang lain, sama ada kepada rakan sejawat mahupun kepada para murid.
Guru yang berkesan seharusnya berupaya untuk memajukan sekolah dan setiap tindakan yang diambil hendaklah berfokuskan kepada;
i. Pencapaian matlamat murid dan sekolah iaitu pelajaran dan pencapaian akademik para murid
ii. Penyelesaian punca-punca masalah yang menyebabkan keadaan murid dan kelas menjadi tidak kondusif
iii. Membentuk atau mewujudkan budaya baharu bagi menggantikan budaya yang sedia ada melalui atau memperkukuhkan budaya yang didapati produktif
iv. Menggerakkan segala tenaga di sekolah dan di luar sekolah ke arah pencapaian matlamat-matlamat sekolah melalui pengajaran yang berkesan
Salah satu apek penting untuk menempa kejayaan dalam perkhidmatan ialah pendekatan positif terhadap disiplin, keberkesanan dalam hubungan meningkatkan mutu kerja, mutu pengajaran dan pembelajaran dan akhirnya mutu output iaitu pencapaian anak didik di dalam penilaian dan peperiksaan. Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle (1989) menyebut bahawa “The positive approach to discipline focuses 20% on what went wrong, and 80% on what could be different next time”. Oleh yang demikian, anda seharusnya menumpukan lebih perhatian dan tenaga kepada aspek “next time” ini dan sekaligus menghapuskan segala amalan, tabiat dan tingkah-laku negatif yang merugikan semua orang. Satu daripada pendekatan dan konsep yang boleh diamalkan ialah Shewhart Cycle atau lebih dikenali sebagai PDCA (yakni Plan-Do-Check-Act).
Guru yang berkesan boleh menjadi model kepada murid dan rakan sejawat. Murid juga akan lebih mudah mendekati guru yang berjaya melaksanakan pengajaran secara berkesan. Keberkesanan seorang guru juga sentiasa didorong oleh motivasi yang tinggi dan mampu menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada muridnya dengan cara yang kreatif, proaktif, dan inovatif. Guru yang berkesan akan sentiasa mengamalkan pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.