Total Pageviews

Friday, July 8, 2011

ETIKA PROFESION KEGURUAN

Maksud Etika
1. Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka, 1995)
2. Prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994).
3. Tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
4. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.


Maksud Etika Profesional

Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.

Skop Etika Profesional
1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
3. Etika PerguruanBermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar.

Kepentingan Etika Guru

Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana:

1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan. – Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. – Guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. – Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi. – Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. – Pengamalan etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli dalam organisasi

Tanggungjawab guru


1. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
2. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama guru ialah terhadap muridnya. Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Guru haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.
6. Guru haruslah memberi perhatian dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa dan agama atau kepercayaan.
7. Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat.
8. Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain.
9. Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain.
10. Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.
11. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara.
13. Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.
14. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya.
15. Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model' kepada muridnya.
16. Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan.
17. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.
18. Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya.
19. Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya.
20. Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.
21. Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.
22. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan prinsip-prinsip berikut:-
Niat yang betul
Perlakuan yang baik
Pengerak ke arah kebaikan
Memperkotakan apa yang dikatakan
Berdisiplin dan beradab
Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi


NILAI-NILAI UTAMA ETIKA KERJA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Walaupun banyak terdapat nilai-nilai mulia, tetapi tujuh nilai utama menjadi fokus Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia.

Nilai-nilai itu adalah:
Amanah
Benar
Bijaksana
Bersyukur
Dedikasi
Ihklas
Penyayang

Akauntabiliti keguruan
1.0 Konsep keguruan


Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.

2.0 Konsep Akauntabiliti
Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang atau bertangugjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji , konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut . Akauntabiliti juga adalah mengenai displin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima keberrtangungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.


3.0 Akauntabiliti keguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akautabiliti guru terhadap pelajar , diri guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya.


Akauntabiliti guru terhadap


3.1 Pelajar
Seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan.
Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain. Guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak di benci,di pandang serong dan tidak di hormati lagi oleh anak muridnya.

3.2 Diri
Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masaalah luaran yang boleh menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah. Guru juga di galakkan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput yang berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal.

3.3 Sekolah

Sekolah ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru juga bertangungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugas-tugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor, setiusaha peperiksaan,setiusaha PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak pentadbiran sekolah.

3.4 Masyarakat dan Negara
Sebagai seorang guru , beliau hendaklah menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan matlamat pendidikan negara berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru hendaklah Memupuk nilai dan sikap murni pelajar dan sesuai dengan masyarakat berbilang bangsa dalam diri pelajar. Guru hendaklah memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Selain itu guru hendaklah mengeratkan persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dan ibu bapa pelajar. Guru haruslah bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala aktiviti sosial bagi mewujudkan suasana harmoni. Guru perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan ajaran yang boleh merosakkkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka menjadi warganegara yang setia, bertanggungjawab, menghormati orang lebih tua dan perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Di samping itu guru hendaklah menghormati masyarakat di tempat guru tersebut berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta mengamlkan tingkah laku soppan yang diterima oleh masyarakat .

3.5 Profesion Keguruan

Guru haruslah meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan berkaitan mata pelajaran yang diajar. Ini termasuklah memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dan menyertai seminar pendidikan seperti kursus-kursus yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan atau pihak pentadbiran sekolah. Ini di lakukan dengan merancang dan melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi mencapai objektif pelajaran secara maksimum. Guru juga hendaklah mengajar dengan fakta yang betul agar murid menerima ilmu yang betul dan tepat.


4.0 Penutup
Dengan dapat memahami prinsip akauntabiliti , guru dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi akuntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang di laksanakannya. Oleh yang demikian, akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas dan tanggungjawabnya , maka tanggungjawabnya tidak dapat di jalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang di cita-citakan negara. Ini akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang di berikan.

PROFESION KEGURUAN: ISU & PERSOALAN!

TAJUK : PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION

1. Pengenalan
Sesungguhnya para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum.Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.


Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kaca mata Islam merupakan murabbi,muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat serta tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah.Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.
Sejarah tidak pernah menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal. Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara professional dan kreatif.

Kedudukan perguruan sebagai satu profesion di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan turut juga dipenuhi dengan cabaran-cabaran. Para pendidik telah memperkatakan mengenai profesion perguruan dari masa ke semasa. Sebelum merdeka lagi sudah ada perbincangan mengenai perkara ini iaitu sebelum Universiti Malaya hendak ditubuhkan di Singapura (1949) terdapat satu symposium mengenai ‘Pendidikan Universiti dan Laporan Carr-Saunders’. Di dalam symposium tersebut perbincangan mengenai peranan universiti dan kedudukan profesion perguruan turut diadakan ( Lim Tay Boh 1948). Di antara perkara pokok yang dibangkitkan ialah keperluan guru-guru sekolah menengah untuk mendapat pendidikan tinggi supaya murid-murid yang bakal dididik nanti akan mempunyai mutu pendidikan yang baik. Pendidikan guru yang tinggi dan usaha melahirkan generasi muda yang baik merupakan cabaran yang kuat di dalam profesion perguruan bukan pada zaman dahulu sahaja tetapi juga masa kini.

2. Konsep Profesion dan nilaitaranya


Sesuatu profesion yang sebenar adalah sesuatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan
kemahiran intelek, latihan iktisas yang mencukupi, khidmat yang diperlui masyarakat, menikmati otonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan pendidikan (Lieberman 1956).
Menurut Kamus Dewan ‘profesion’ ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas.( contohnya : perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain.)
Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang ( 1996 ) merumuskan secara ringkas konsep profesionalisme sebagai :
Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai outonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.
Di negara kita perguruan ini lebih mirip kepada pekerjaan (vocation) daripada profesion ( Awang Had Salleh 1980 ).
Nilaitara-nilaitara sesuatu profesion merupakan peraturan yang ditetapkan oleh organisasi supaya setiap ahli profesional akan mematuhinya, demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan tersebut .Nilaitara ini menjadi garis panduan dalam usaha memastikan tingkahlaku dipatuhi oleh setiap ahlinya.

3. Aspek Keguruan Dianggap Sebagai Satu Profesion

3.1 Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi melaluai pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa yang panjang.


Sebelum seseorang itu menjadi guru, dia perlu menerima latihan dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Umpananya, seorang guru mesti mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah kerajaan. Walaubagaimanapun, samada seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak diajarnya.Guru juga mesti mengetahuai keadah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya.
Di samping itu, guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati dan sentiasa bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psiklogi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Selain tugas dalam bilik darjah, guru juga mempunyai peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya guru diharapkan menjadi pengganti ibubapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukkan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat.

3.2 Mempertingkatkan Profesionalisme


Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik.
Sehubungan dengan kehendak tersebut guru harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan.Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998)

3.3 Berupaya Membuat Keputusan dan Menyelesaikan Masalah Serta Berfikiran Kritis dan Kreatif


Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa, malah lebih daripada itu. Individu yang terlibat dalam profesion keguruan sebenarnya akan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.Sebagai pentadbir ataupun pengurus, guru harus boleh membuat sesuatu keputusan dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasil sesuatu perkara yang dijalankan.Perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan juga memerlukan guru untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja perlu digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah,tetapi jika perlu keadah berfikir secara kritis dan kreatif boleh diaplikasikan dalam pentadbiran,mengurus ataupun dalam perancangan sesuatu program.

3.4 Mahir Menggunakan IT


Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui ‘online’. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemankin kearah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.
Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, menyebabkan pembangunan negara bergerak dengan rancak. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat seperti koridor raya multimedia [ multimedia super corridor (MSC)] yang menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Hal yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara ini, komputer telah dijadikan sebagai satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu dan menguasai teknologi maklumat. Penggunaan komputer dalam pendidikan membawa satu reformasi serta perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi pendidikan, teori pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru ( Mok Soon Sang, 1996).
Dalam era teknologi maklumat seperti sekarang, kita berhadapan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian, malah kemudahan teknologi telah menjadi satu cara hidup seperti penggunaan pengangkutan berasaskan teknologi (LRT), perkhidmatan bank ( kad ATM), telekomunikasi (telefon bimbit), hiburan ( Video, VCD) dan lain-lain. Jadi rakyat negara ini harus dapat menangani kehidupan di era teknologi maklumat sehingga teknologi itu menjadi sebahagian daripada amalan biasa tanpa disedari. Oleh itu, profesion keguruan harus memperlengkapkan diri secara global dalam perkembangan penggunaan teknologi maklumat dalam kurikulum di sekolah.

3.5 Berpengetahuan dan Berdaya Fikir Serta Berakhlak


Seseorang guru dalam profesion keguruan ini perlu serba tahu. Guru diharapakan dapat mambawa isu-isu semasa untuk perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar di dalam kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi, pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh kerajaan pada masa ini. Keselamatn di jalan raya dan cara-cara memandu yang selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila mereka menjadi pemandu kelak.
Melaluai pembacaan guru dapat menambah ilmu pengatahuan mengenai isu-isu semasa, sama ada yang berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, janayah : seperti peras ugut, pecah rumah, penculikan dan seumpamanya ; ekonomi : urusan perniagaan, jual-beli saham, hartanah dan sebagainya ; politik : hubungan negara di peringkat antarabangsa dan juga pergolakan politik sesebuah negara. Dalam hal seperti ini, guru diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar.
Dalam perubahan-perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion keguruan juga perlu menyediakan diri dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji.
Dalam kurikulum pendidikan peringkat rendah dan menengah telah ditegaskan nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam pengajaran. Pelaksanaan penerapan nilai penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada negara pada masa hadapan. Hal yang sama juga perlu dihayati oleh guru. Enam belas nilai murni yang disarankan dalam kurikulum pendidikan perlu dimiliki oleh guru terlebih dahulu.

4. Penutup
Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalam kurikulum pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion keguruan. Oleh itu adalah mustahak bagi individu yang berkecimpung dalam bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan, kebolehan prestasi dari semasa ke semasa. Jika hal ini wujud, barulah tuntutan-tuntutan dalam perubahan kurikulum itu dapat ditangani.
Namun kini sejauh mana kita mengiktiraf dan memartabatkan perguruan sebagai satu profesion adalah bergantung kepada anggapan masyarakat, ini kerana masih ada lagi yang menganggap profesion perguruan sebagai kelas kedua.Adakah peranan guru semakin hilang taringnya kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang diiktiraf sebagai professional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam dan arkitek?
Dalam konteks ini pihak kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai. Menurut Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan profesion perguruan selain daripada peranan pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Perguruan dan masyarakat, para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi.

Rujukan

Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tanjung Malim : Quantum Books.

Ee Ah Meng, 1994. Perkembangan dan pelaksanaan kurikulum. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Awang Had Salleh, 1980. “ Keguruan dan perguruan di Malaysia: keperihalan kini dan arah yang dituju”. KONPEN V, Johor Bharu 6-8 Disember.

Mok Soon Sang, 1996. Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.

Sufean Hussin, 1993. Pendidikan di Malaysia : sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.