Total Pageviews

Thursday, August 4, 2011

GURU BERKESAN Dalam Merealisasikan Pendidikan Cemerlang


"If they aren't learning...then you aren't teaching."

~ Anon

Pendahuluan

Antara persoalan yang sering timbul di benak kita ialah mengapakah berlaku prestasi sebuah sekolah itu lebih baik daripada sebuah sekolah yang lain? Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya senario demikian? Atau adakah perbezaan yang wujud itu disebabkan 'nasib' semata atau kurangnya usaha-usaha melakukan perubahan dan penambahbaikan yang berterusan (Kaizen) kerana tidak wujudnya misi (mission), visi (vision), komitmen (committment) atau contoh ikutan (role model), sama ada dari aspek diri individu atau pihak pengurusan sekolah yang boleh mencetuskan inspirasi dan halatuju (direction) yang jelas, betul dan tepat.

Ramai orang inginkan kemajuan, peningkatan, kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya apa yang kita namakan sebagai kejayaan. Kejayaan pula berlaku dalam banyak bentuk sama ada kejayaan peribadi, kejayaan organisasi atau pun kejayaan kelompok dan komuniti.

Phillip Van Hooser (1998) mendapati bahawa ada tiga unsur penting dalam menentukan kejayaan. Tiga unsur ini berkait rapat antara satu sama lain dan ianya digelar sebagai"Triangle of Success" (yang merangkumi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap).

Ilmu Pengetahuan: Apakah pengetahuan? Adakah pengetahuan sahaja sudah cukup? Phillip Van Hooser menyatakan bahawa pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan seseorang itu berada di tempat kerja. Pengetahuan sebenar ialah kefahaman (understanding). Dalam kepimpinan, kefahaman terhadap apa yang diperlukan dan dijangkakan oleh pengikut-pengikut daripada pemimpin merupakan pengetahuan kerja yang praktikal.

Kemahiran: Pengetahuan dan kemahiran sama-sama penting. Kedua-duanya sangat diperlukan bagi pembangunan kepemimpinan personal. Ringkasnya, kemahiran sama erti dengan aplikasi (application). Kebolehan mengaplikasi sesuatu konsep atau idea kepada sesetengah 'task' merupakan satu kelebihan kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan. Kemahiran-kemahiran khusus termasuklah keberanian profesionalisme, ketegaran (decisiveness) dan kesabaran serta kemahiran mendengar.

Sikap: Sikap adalah kunci kepada segalanya. Sikap dapat disamakan dengan kehendak (desire). Sesiapa jua boleh memiliki pengetahuan dan kemahiran yan tertentu bagi melaksanakan perkara-perkara besar lagi hebat, tetapi jika tanpa kehendak yang mendorong dan menggerakkan tingkah-laku dan perbuatan maka hasil akhirnya adalah potensi yang tidak dapat direalisasikan. Didapati juga individu-indidvidu yang kurang pengetahuan dan kemahiran tetapi mereka memiliki sikap, kehendak dan dorongan yang cukup kuat dapat mengatasi sebarang halangan yang mereka hadapi dengan jayanya.

Cabaran kita ialah secara sedar membuang perasaan berpuas hati (complacency) dan terlalu yakin (overconfidence) sewaktu kita mengembangkan satu atau lebih unsur-unsur di atas.

Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai, kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.

Guru Berkesan

Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang guru yang berkesan itu? Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah menyenaraikan ciri-ciri guru berkesan sebagaimana berikut:

· Bersikap profesional.

· Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.

· Kaya ilmu.

· Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.

· Bermoral teguh.

· Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.

· Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.

· Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.

· Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.

· Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa.

· Mempastikan situasi 'Guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas.

· Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.

· Berupaya membina minda pelajar yang cemerlamg akademik.

· Berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilanm, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).

· Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.

· Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi.

· Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.

Kenyataannya adakah semua ciri tersebut telah kita miliki? Atau sekurang-kurangnya sebahagian besarnya telah kita amalkan dalam diri peribadi mahu pun dalam organisasi? Tetapi yang nyata masih ramai atau sebahagian besar dari kita amat kurang memiliki ciri-ciri tersebut. Jadi bagaimana kita hendak melahirkan pengajaran dan pembelajaran yan berkesan dan seterusnya sekolah berwatak dan sekaligus pendidikan cemerlang?

Untuk menjadi guru berkesaan kita perlu berubah. Kita perlu menganjak paradigma, kita perlu melakukan lonjakan quantum dengan merobah dan meruntuh tembok penghalang yang pertama dan utama iaitu Menolak Perubahan (Resist Change). Ken Blanchard, pengarang buku "The One Minute Manager" menyatakan bahawa kita lumrahnya liat dan sukar menerima perubahan. Beliau menyatakan bahawa;

· Bila memikirkan perubahan kita sering fikirkan perkara-perkara yang kita kena kepaskan, bukan kepada perkara-perkara yang akan kita dapat .

· Setiap orang mempunyai toleransi yang berbeza terhadap perubahan kendatipun kepada mereka yang memiliki tahap toleransi yang tinggi akan ada satu titik di mana perubahan tidak berupaya ditanggungi.

· Selali pun perubahan telah berlaku kita secara fitrahnya mahu meletakkan perkaarap-perkara kembali kepada keadaan asalnya.

Mengubah Diri Mengubah Sikap

Plato berkat, "Kemenangan yang utama dan pertama ialah menakluki diri." Garfield pula berkata, "Di dunia ini benda-benda tidak berubah, kecuali ada orang yang mengubahnya."

Jelas sekali perubahan tidak terjadi tanpa penggeraknya atau pun penyebabnya, dan perubahan yang paling berat dan paling sukar ialah perubahan diri peribadi. Stephen Covey (1989) dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People" menyatakan ada dua tahap proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status 'orang-orang yang paling berkesan' iaitu tahap 'memenangi peribadi' dan 'memenangi publik'. Tiga tabiat (habit) yang fundamental bagi seseorang memenangi diri peribadi adalah:

· Jadilah Proaktif (Be Proactive)

· Mulai dengan yang akhir di dalam minda (Begin with the End in Mind)

· Buat dahulu perkara pertama (Put First Things First)

Bagi memenangi publik (dalam hubungan interpersoal) tabiat (habit) yang perlu diamalkan adalah:

· Fikirkan Menang/Menang (Think Win/Win)

· Fahami dahulu, kemudian minta difahami (Seek first to understand, and then to be understood)

· Sinergi (Synergize)

· Tajamilah mata gergaji (Sharpen the Saw)

Memenangi Peribadi

Dalam hubungan interpersonal kita sentiasa berinteraksi dengan orang-orang di dalam organisasi rasmi kita iaitu sekolah di mana personaliti dan perwatakan memainkan peranan dan pengaruh yang kuat terutama ke atas anak didik kita dan juga rakan sejawatan. Peribadi yang positif dan kuat mudah memberi kesan dan pengaruh serta dapat menjalin hubunganinterpersonal yang baik dan harmonis.

Antara rangsangan (stimulus) dan tindakan (response) terdapat satu ruang di mana kita boleh membuat pilihan. Apa jua tindakbalas/tindakan yang diambil bergantung kepada sedar-diri (self-awareness), imaginasi, hati nurani (conscience) dan keazaman-diri (independent will) setiap individu itu. Oleh itu sebelum berlakunya sebarang tindakbalas, setiap orang mempunyai satu ruang untuk membuat pilihan, dan di ruangan 'kebebasan memilih' inilah pula manusia sebenarnya memiliki 'anugerah istimewa' iaitu sedar-diri -- keadaan setiap orang sedar situasi sekeliling dan juga implikasi terhadap tindakbalas yang mungkin diambilnya. Di samping sedar-diri ini manusia juga dianugerahkan imaginasi -- kebolehan menjana sesuatu di dalam minda yang melangkaui realiti semasa. Hati nurani (consceince) pula merupakan kesedaran dalaman (suara hati) terhadap salah dan betul, benar dan palsu, terhadap prinsip-prinsip yang mengawal tingkah-laku serta kesedaran wujudnya harmoni antara pemikiran dan tindakan. Akhir sekali ialah satu anugerah kepada 'kemerdekaan' dan keazaman diri -- satu kebolehan bertindak berdasarkan sedar-diri dan bebas daripada segala bentuk pengaruh.

Ciri kedua memenangi peribadi ialah 'mulai dengan gambaran akhir di dalam minda' yang bererti setiap kita dapat melihat diri di akhir episod hidup kita sama ada kemajuan dalam kerjaya atau kejayaan peribadi dan keluarga. Ringkasnya apakah kita mahukan 'husnul khatimah' atau pun 'su'ul khatimah'.

Dan ciri ketiga ialah buat dahulu perkara pertama (Put First Things First) yang maksudnya kita mengamalkan 'pengurusan masa' yang kemas dan sistematik, mengutamakan prioriti tindakan serta tidak suka menanggguh kerja. Insya Allah setelah tiga unsur penting ini kita kuasai maka tidaklah sukar untuk menjadi seorang yang lebih berkesan baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yan boleh menjadi role model kepada orang-orang lain.

Pendidikan Cemerlang

Aristotle berkata, "We are what we repeatedly do. Excellence, then, is not an act, but a habit." Sesungguhnya kecemerlangan bukan terjadi secara begitu sahaja tanpa faktor-faktor yang menggalak dan merangsang setiap guru dan pelajar berusaha mencapai matlamat dan kepuasan kendiri yang tinggi setelah bekerja keras, berkorban masa dan tenaga yang bukan sedikit.

Oleh itu sekolah dan guru-guru perlu pertamanya melakukan sesuatu bagi menghapuskan atau mengurangkan faktor-faktor dalaman sekolah yang menyekat kemajuan pelajaran pelajarnya. Usaha-usaha memperbaiki kemajuan dan sekaligus kecemerlangan pendidikan di sekolah mestilah berfokuskan pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah. Semua ini perlukan perubahan sikap dan kepercayaan para guru (termasuk pelajar-pelajar).

Hussein Mahmood (1993) dalam bukunya "Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah" berkata;

"Walau bagaimanapun , di peringkat sekolah pada keseluruhannya,

seluruh cara hidup atau cara bekerja - yang dikatakan budaya

sekolah serta sistem-sistem tertentu yang menghalang kejayaan

sekolah perlu dikaji semula dan diperbetulkan segera. Jika tidak,

segala apa juga usaha untuk memajukan sekolah, kemungkinan

matlamat yang sepatutnya dicapai tidak dicapai."

Menurut beliau usaha untuk memajukan sekolah hendaklah berfokuskan;

a. Pencapaian matlamat sekolah, iaitu pelajaran dan pencapaian akademik para pelajar;

b. Penyelesaian punca-punca masalah yang menyebabkan keadaan sekolah demikian;

c. Membentuk atau mewujdukan budaya baru bagi menggantikan budaya yang sedia ada melalui (b) atau memperkukuhkan budaya yang didapati produktif; dan

d. Menggerakkan segala tenaga di sekolah dan di luar sekolah ke arah pencapaian matlamat-matlamat sekolah melalui kepemimpinan pengetua.

Kajian terhadap Program Peningkatan Kurikulum dasn Kemajuan Pendidika (PKKP) Jabatan Pendidikan Pahang, Edisi Kedua (1999); Satu Penilaian dan Cadangan Pembaharuan menyebut faktor-faktor berikut sebagai penghalang kepada peningkatan dan dengan itu mstilah dibasmi dan dielakkan:

· Visi bersama tidak dijelaskan dan tidak dihayati oleh setiap anggota;

· Mesyuarat/perbincangan mengenai strategi yang terlalu kurang;

· Sikap tidak cakna;

· Anggota yang masih tidak mahu berubah dari 'zon selesa';

· Cepat berpuas hati atau puas hati yang melampau;

· Pemimpin organisasi tidak terlibat dan tidak ikut serta untuk membuat perubahan;

· Tiada usaha yang lebih atau tiada pengorbanan;

· Terlalu cepat mengisytiharkan kemenangan;

· Tiada kemenangan jangka pendek yang boleh diraya atau dibanggakan oleh organisasi menyebabkan hilang momentum untuk berubah dan anggota yang kecewa akan memasuki kumpulan yang menolak perubahan.

Menempa Kejayaan

Persekolahan dan pendidikan hari ini bukan sahaja menuntut para guru menyempurnakan tugas dan tanggunjgjawab mereka dalam mempastikan setiap anak didik menguasai tulis baca dan mengira, malah menguasai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru. Oleh itu tugas dan tanggungjawab serta komitmen guru juga haruslah bertambah dan meningkat dari sebelumnya dan ini sudah tentu memerlukan satu sikap baru dan 'pandangan baru' dalam menempa kecemerlangan pendidikan secara keseluruhannya.

Untuk mencapai matlamat ini guru-guru mestilah mempunyai kesedaran diri yang tinggi bahawa apa jua faktor yang memghalang hendaklah dibanteras di samping membuat perubahan pendekatan, strategi dan teknik serta secara berfikir yang positif.

Salah satu aspek penting menempa kejayaan ialah pendekatan positif terhadap disiplin dalam hubungan meningkatkan mutu kerja, mutu pengajaran dan pembelajaran, dan akhirnya mutu output iaitu pencapaian anak didik di dalam penilaian dan peperiksaan.

Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle (1989) menyebut bahawa "The positive approach to discipline focuses 20% on what went wrong, and 80% on what could be different next time."

Yang demikian kita seharusnya menumpukan lebih perhatian dan tenaga kepada aspek "next time" ini dan sekaligus menghapuskan segala amalan, tabiat dan tingkah-laku negatif yang merugikan semua orang. Satu daripada pendekatan dan konsep yang boleh diamalkan ialah Shewhart Cycle atau lebih dikenali sebagai PDCA (yakni Plan - Do - Check - Act).

Plan (Rancang) : Semua aktiviti (sekolah, kelas, kokurikulum, zon dan daerah) mestilah dirancang dengan rapi. Elakkan sekali-kali mentaliti ad-hoc, buat sesuatu secara tangkap muat, atau ikut sahaja kerana ramai orang lain buat begitu.

Do (Buat) : Semua yang telah dirancang mesti dilaksanakan sepenuhnya. Inilah aspek paling penting dan kritikal kerana pada peringkat inilah yang menentukan kejayaan setiap perancangan itu. Apa makna dan apa gunanya jika perancangan tinggal pernacangan sahaja? Soal balik diri sendiri apakah perancangan yang kita buat telah semuanya dilaksanakan? Lihat kembali Folio B dalam Program PKKP selama ini sudahkah dibuat sebagaimana dirancang? Jujurlah kepada diri sendiri, dan jika belum, nah inilah puncanya mengapa kita begitu sukar mengatasi kelemahan dan kemerosotan.

Check (Semak) : Semakan amat penting kerana setiap perancangan dan pelaksanaan perlukan; penilaian bagi melihat keberkesanannya atau pun sebab-sebab mengapa ianya tidak mencapai objektif yang ditentukan. Banyak kerja guru-guru kita perlu disemak dengan teliti dan rapi seperti buku latihan murid diperiksa atau tidak, pembetulan dibuat atau tidak, diagnosis mata pelajaran dibuat atau tidak dan jika dibuat tindakan susulan dibuat atau tidak, keputusan mesyuarat guru atau mesyuarat panitia mata pelajaran dibuat atau tidak, pencerapan pengajaran guru dalam bilik darjah dibuat atau tidak; atau laporan-laporan berkala yang diminta oleh JPNP dan PPD dibuat atau tidak, dan dihantar mengikut masanyaatau tidak? Satu cara berkesan memastikan sistem semakan yang praktikal ialah dengan mewujudkan satu Senarai Semak Komprehensif yang melibatkan semua perancangan aktiviti di sekolah.

Act (Bertindak) : Setelah semakan dibuat dan jawapannya diketahui sama ada ianya positif atau sebaliknya, tindakan yang amat penting seterusnya ialah mengambil tindakan. Cari puncanya, cari mana silapnya dan cari siapa culpritnya (afritnya). Adakah puncanya kerana sikap manusia atau sistem dan prosedur atau tidak jelas bidang tugas? Tindakan seterusnya memastikan tidak berulang lagi perkara-perkara tidak memuaskan ini dan personnel yang terlibat mestilah disedarkan melalui nasihat, teguran, bimbingan dan kaunseling malah amaran dan tindakan selanjutbya sekali pun jika sudah sampai kepada tahap yang serius dan kritikal.

Penutup

Menjadi guru berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil dicapai. Prasyarat yang utama dan pertama ialah kesediaan dan keanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan bertindak secara orang-orang profesional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak mudah patah semangat.

Guru yang profesional sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnnya di sekolah setiap masa dan waktu. Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah, dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan, serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan.

Orang-orang yang berfikiran dan bersikap optimistik tidak mudah melatah, merungut dan menyalahkan orang lain dan keadaan semata-mata, orang yang optimistik melihat semuanya dari sudut yang serba berkemungkinan berjaya dan meningkat maju, sama ada dari aspek diri peribadi mahu pun aspek organisasi.

Seperti kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Abdul Shukor Abdullah di dalam perutusan Hari Guru 1999, beliau menyebut;

" Guru-guru perlu dapat menyampaikan ilmu pengetahuan secara

berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan

diri masing-masing dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh

itu pada setiap masa, kaum guru sekalian hendaklah menampilkan

watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai

pendidik yang unggul."ٱ

Rujukan

Covey, Stephen R. (1989) The Seven Habits of Highly Effective People. Simon and Schuster, New York.

Fox, John (1998) Back to the Future - Management of Change. Anne Fox & Associates, Australia.

Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

____________ (1999) Program Peningkatan Kurikulum Dan Kemajuan Pendidikan (Edisi Kedua), Satu Penilaian Dan Cadangan pembaharuan. Jabatan Pendidikan NegeriPahang.

Van Hooser, Phillip (1998) Triangle of Success. Van Hooser Associates, Ocala, Florida, USA.

_________________________________________________

Friday, July 8, 2011

ETIKA PROFESION KEGURUAN

Maksud Etika
1. Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka, 1995)
2. Prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994).
3. Tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
4. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.


Maksud Etika Profesional

Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.

Skop Etika Profesional
1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
3. Etika PerguruanBermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar.

Kepentingan Etika Guru

Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana:

1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan. – Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. – Guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. – Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi. – Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. – Pengamalan etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli dalam organisasi

Tanggungjawab guru


1. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
2. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama guru ialah terhadap muridnya. Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Guru haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.
6. Guru haruslah memberi perhatian dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa dan agama atau kepercayaan.
7. Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat.
8. Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain.
9. Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain.
10. Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.
11. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara.
13. Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.
14. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya.
15. Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model' kepada muridnya.
16. Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan.
17. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.
18. Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya.
19. Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya.
20. Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.
21. Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.
22. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia

Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan prinsip-prinsip berikut:-
Niat yang betul
Perlakuan yang baik
Pengerak ke arah kebaikan
Memperkotakan apa yang dikatakan
Berdisiplin dan beradab
Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi


NILAI-NILAI UTAMA ETIKA KERJA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Walaupun banyak terdapat nilai-nilai mulia, tetapi tujuh nilai utama menjadi fokus Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia.

Nilai-nilai itu adalah:
Amanah
Benar
Bijaksana
Bersyukur
Dedikasi
Ihklas
Penyayang

Akauntabiliti keguruan
1.0 Konsep keguruan


Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.

2.0 Konsep Akauntabiliti
Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang atau bertangugjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji , konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut . Akauntabiliti juga adalah mengenai displin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima keberrtangungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.


3.0 Akauntabiliti keguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akautabiliti guru terhadap pelajar , diri guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya.


Akauntabiliti guru terhadap


3.1 Pelajar
Seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan.
Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain. Guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak di benci,di pandang serong dan tidak di hormati lagi oleh anak muridnya.

3.2 Diri
Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masaalah luaran yang boleh menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah. Guru juga di galakkan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput yang berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal.

3.3 Sekolah

Sekolah ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru juga bertangungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugas-tugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor, setiusaha peperiksaan,setiusaha PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak pentadbiran sekolah.

3.4 Masyarakat dan Negara
Sebagai seorang guru , beliau hendaklah menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan matlamat pendidikan negara berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru hendaklah Memupuk nilai dan sikap murni pelajar dan sesuai dengan masyarakat berbilang bangsa dalam diri pelajar. Guru hendaklah memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Selain itu guru hendaklah mengeratkan persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dan ibu bapa pelajar. Guru haruslah bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala aktiviti sosial bagi mewujudkan suasana harmoni. Guru perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan ajaran yang boleh merosakkkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka menjadi warganegara yang setia, bertanggungjawab, menghormati orang lebih tua dan perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Di samping itu guru hendaklah menghormati masyarakat di tempat guru tersebut berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta mengamlkan tingkah laku soppan yang diterima oleh masyarakat .

3.5 Profesion Keguruan

Guru haruslah meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan berkaitan mata pelajaran yang diajar. Ini termasuklah memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dan menyertai seminar pendidikan seperti kursus-kursus yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan atau pihak pentadbiran sekolah. Ini di lakukan dengan merancang dan melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi mencapai objektif pelajaran secara maksimum. Guru juga hendaklah mengajar dengan fakta yang betul agar murid menerima ilmu yang betul dan tepat.


4.0 Penutup
Dengan dapat memahami prinsip akauntabiliti , guru dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi akuntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang di laksanakannya. Oleh yang demikian, akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas dan tanggungjawabnya , maka tanggungjawabnya tidak dapat di jalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang di cita-citakan negara. Ini akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang di berikan.